Tuesday, October 25, 2011

Apa Yang Tertinggal?

Kau tidak akan tahu bila perkara yang celaka akan berlaku. Kau senyum sekarang dan mungkin sejam lagi kau akan menangis dan tergolek anjing di dalam bilik kau apabila takdir itu datang dalam bentuk telegram dari Tuhan untuk menyedarkan betapa selama ini kau rasa sesuatu keadaan itu akan kekal selama-lamanya seperti yang kau harapkan.

'Bam!!!'

Tiba-tiba segalanya berubah.

Ini yang aku alami sekarang. Aku keliru, aku marah, aku sedih, dan pelbagai lagi perasaan seakan mixing lagu RnB dan Hip Hop yang dibuat oleh seorang DJ amatur di Laundry Bar. Segalanya bercampur baur dan bergumpal.

Beberapa fasa aku lalui dalam keadaan sengsara. Siri berkomunikasi satu hala dengan Tuhan. Bersandar dan memujuk hati pada puisi-puisi Charles Bukowski. Dan mengambil segala nasihat dari google sehinggalah rakan yang sober dari kemabukan sepanjang malam.

Semakin lama, aku yang tidak begitu religious ini terpaksa terima hakikat. Ada perkara-perkara yang aku tidak akan dapat perbaiki. Ianya, seperti aku cuba memperbaiki cermin yang pecah, cermin itu tidak akan kembali seperti asal dan kacanya akan melukakan aku.


Aku harap dan cuba sedaya upaya menjalani hari aku ini dengan tabah. Karier yang tiada, kewangan yang di bawah paras kemiskinan bandar, dan terbaru segala rasa cinta yang selama ini buat aku rasa bangga dan sekurang-kurangnya mempunyai satu poin kelebihan dari orang lain (yang punya karier dan wang)... akhirnya juga hilang.

Apa lagi yang tinggal untuk diri aku, sekarang?

yang tinggal...

Lelaki, 28 tahun, bersendirian, dengan 20 kilogram lemak lebih dari diperlukan meliliti badannya, sedang melawan dunia yang perlahan-lahan menelannya dalam satu pertandingan yang... berat sebelah.

Mungkin dia akan kalah.

Namun dia akan buktikan bahawa dia kalah... melawan.